ALOR SETAR: Cadangan yang dikemukakan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) untuk menimbang rayuan pemberian subsidi minyak kepada bot-bot nelayan kelas C2 akan diangkat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi dibincangkan di peringkat kerajaan.

Menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee, menjelaskan, kerajaan telah menghentikan pemberian subsidi minyak kepada bot kelas berkenaan sejak 2019, dan hanya beberapa kelas bot sahaja masih menerima subsidi berkenaan termasuk kelas A,B dan C.

Tambahnya, sekiranya cadangan berkenaan dapat dilaksanakan, ia dapat memberi manfaat besar kepada kira-kira 500 pemain industri perikanan kelas C2.

"Memang betul kita bagi subsidi. Sebelum ini ada subsidi untuk semua kelas kapal nelayan, tetapi dihentikan sejak tahun 2019, subsidi yang dibagi kepada (ketika ini adalah kepada) kapal (kelas) A,B dan C.

"Jadi ada permintaan daripada pemain-pemain industri perikanan (kelas) C2 (atau) laut dalam untuk mereka juga disubsidikan penggunaan minyak, (mereka ini) tak ramai, lebih kurang 500 orang lebih pengusaha perikanan C2 di negara kita.

"(Sehubungan itu) cadangan ini telah pun kita terima dan tentu sekali kita akan angkat untuk dibincang di peringkat kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan kerja ke kilang ayam milik Bismi Empire Sdn Bhd (BISMI) di Simpang Empat, di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berasingan, Ronald menyatakan harga ikan di negara ini bergantung kepada bekalan ikan yang diperolehi menyebabkan ianya tidak mempunyai harga kawalan yang ditetapkan kerajaan.

Jelasnya, sekiranya bekalan ikan di pasaran adalah pada tahap yang banyak, ia akan menyebabkan harga ikan menurun dan sebaliknya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pihak kementerian akan sentiasa berusaha bagi memastikan bekalan ikan mencukupi selain memantau harga bahan mentah berkenaan.